FIFPRO Tuduh FIFA Promosi Kesatuan Palsu, Isu Etika Tak Pernah Selesai
MakanBola
FA Malaysia

FIFA sekali lagi menjadi sasaran kritikan selepas didakwa mempromosikan kesatuan pemain ‘palsu’ dan tidak menjemput badan rasmi pemain dunia, FIFPRO, ke sesi perbincangan kebajikan pemain yang berlangsung di Maghribi.

Menurut laporan PA Media/dpa, mesyuarat yang dinamakan FIFA Professional Players Consultation Forum itu dianjurkan tanpa kehadiran FIFPRO, yang sepatutnya menjadi suara utama pemain di peringkat global.

FIFPRO dalam kenyataan rasmi menegaskan pertemuan itu tidak mewakili pemain dengan adil.

“Mesyuarat itu tidak melibatkan wakil global yang bermakna daripada kesatuan pemain bebas yang benar-benar mewakili suara pemain dan menjadi sebahagian penting dalam rundingan buruh.”

Kenyataan itu turut mempersoalkan pendekatan FIFA yang disifatkan semakin membimbangkan.

“Pendekatan ini mengukuhkan satu corak yang membimbangkan. FIFA sebelum ini telah menggunakan strategi serupa dengan ejen dan penyokong, iaitu dengan mewujudkan organisasi mesra-FIFA untuk proses rundingan, dan bukannya berunding dengan badan perwakilan rasmi dalam bola sepak.

Melanjutkan amalan ini ke hal-hal pekerjaan dan mempromosikan kesatuan palsu atau ‘yellow unions’ menjejaskan wakil sebenar pekerja serta bercanggah dengan konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).”

Hubungan antara FIFA dan FIFPRO memang sudah lama tegang, malah cabang Eropah FIFPRO kini mengambil dua tindakan undang-undang terhadap FIFA kerana didakwa gagal berunding mengenai kalendar perlawanan antarabangsa.

FIFA pula mempertahankan langkah mereka dengan mendakwa sesi di Maghribi itu dihadiri wakil daripada 30 kesatuan pemain kebangsaan.

Namun, laporan PA Media mendedahkan sekurang-kurangnya empat daripada 30 kesatuan itu diwakili oleh individu yang telah digantung akibat salah urus tadbir atau rasuah.

Mesyuarat di Maghribi itu adalah susulan kepada satu lagi pertemuan di New York pada Julai lalu yang turut tidak menjemput FIFPRO. Antara perkara yang dibincangkan termasuk cadangan tempoh rehat 72 jam antara perlawanan, rehat 21 hari antara musim, satu hari rehat mingguan serta pertimbangan terhadap perjalanan jauh dan faktor cuaca.

FIFA dalam kenyataannya memaklumkan langkah-langkah itu akan dibawa ke peringkat perbincangan lanjut.

Namun, menurut laporan The Athletic, FIFPRO menyifatkan pendekatan FIFA itu masih gagal menzahirkan keterbukaan dalam tadbir urus bola sepak profesional.

“Walaupun FIFA telah mencapai beberapa kemajuan penting bersama FIFPRO dalam beberapa tahun kebelakangan ini, FIFA terus menyembunyikan struktur tadbir urus sepihak bola sepak profesional di sebalik rundingan dengan pihak berkepentingan, ini satu proses yang sangat cacat seperti yang dibuktikan dalam mesyuarat di Rabat.”

Isu ini menambah satu lagi siri kritikan terhadap badan induk bola sepak dunia itu. Sebelum ini, FIFA turut dikritik kerana beberapa keputusan kontroversi dan tindakan yang didakwa melanggar prinsip etika serta ketelusan dalam pentadbiran mereka.

Antara kes paling besar ialah skandal rasuah pada 2015, apabila lebih 20 pegawai kanan FIFA dituduh terlibat dalam skim sogokan bagi mempengaruhi bidaan Piala Dunia 2018 dan 2022; satu peristiwa yang mencalar reputasi organisasi itu hingga ke hari ini.

Sehingga kini, FIFA belum memberikan sebarang maklum balas rasmi terhadap dakwaan yang dikemukakan oleh FIFPRO.