Dollah Salleh Tunggu Laporan, Malaysia B-16 Kalah 11-0
MakanBola
AFL

Naib Presiden FAM, Datuk Dollah Salleh mahu menunggu laporan jurulatih Malaysia B-16, Javier Jorda Ribera terlebih dahulu sebelum membuat sebarang komen.

Ini selepas beliau ditanya tentang kekalahan 11-0 skuad Malaysia B-16 di tangan Croatia baru-baru ini.

Kekalahan besar ubi muda negara itu mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak Malaysia.

Meskipun begitu, Dollah memilih ingin melihat laporan Ribera terlebih dahulu. Ini bagi membolehkan FAM mengetahui punca yang membawa kepada kekalahan berkenaan.

“Saya baru sahaja bercakap dengan pasukan kejurulatihan dan sudah meminta laporan penuh mengenai apa yang berlaku dalam kekalahan besar itu.

“Kami hanya boleh memberi komen selepas mengetahui puncanya,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.

Dollah melihat skuad yang dihantar cukup bagus kerana pernah bersaing dalam saingan FIFA Youth Series di Zurich, Switzerland pada Mei lalu.

“Pasukan itu sebelum ini menyertai FIFA Youth Series di Zurich awal tahun ini dan beraksi dengan baik, menamatkan saingan di tempat kelima.

“Ia satu keputusan yang bagus memandangkan kami berdepan pasukan kuat,” ujarnya.

Anak buah Ribera bakal meneruskan latihan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) sebelum fokus kepada pusingan kelayakan Piala Asia B-17 2026.

Malaysia berada dalam Kumpulan C bersama Vietnam, Mariana Utara, Singapura, Macau dan Hong Kong.