Jurulatih Velez Dedah Perbualan Singkat Bersama Imanol Machuca
MakanBola
Club Atletico Velez Sarsfield

Situasi terkini membabitkan pemain warisan Harimau Malaya, Imanol Machuca dikongsikan oleh pengurus Velez Sarsfield, Guillermo Barros Schelotto.

Imanol Machuca ketika ini masih menerima penggantungan 12 bulan selepas FIFA menolak rayuan FAM berkenaan kes pemalsuan dokumen membabitkan beliau dan 6 lagi pemain warisan negara.

Walau bagaimanapun, kes ini difahamkan bakal dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang dijangka akan memakan masa sebelum keputusan muktamad diperolehi nanti.

Dalam masa yang sama, Guillermo Barros Schelotto sebagai pengendali Velez Sarsfield mendedahkan ada menghubungi Imanol Machuca sebelum ini dan berbual mengenai hukuman yang dikekalkan itu.

Tambah beliau, tindakan seterusnya yang mahu diambil oleh Imanol Machuca adalah untuk membawa kes ini ke peringkat seterusnya (CAS) setelah FIFA menolak rayuan mereka yang lalu.

“Saya ada bercakap dengan Imanol minggu ini, hukuman itu telah dikekalkan dan beliau memiliki peluang bagi membuat rayuan dan itulah yang akan dilakukan oleh pemain tersebut,” jelasnya.

Sungguhpun begitu, Barros Schelotto tidak dapat memberi komen lanjut mengenai kes seperti ini oleh kerana pihaknya tidak memperoleh maklumat lebih mendalam tentang situasi Imanol Machuca.

“Ini adalah situasi yang kami sendiri tidak tahu sepenuhnya kerana info yang diperolehi sangat terhad, kami sebenarnya tidak tahu banyak perkara,” katanya menurut laporan Sabado Velez.

Masa hadapan Imanol Machuca di Velez Sarsfield juga masih belum ada kata putus tatkala kontrak pinjaman pemain sayap itu hanya berbaki sebulan lebih sebelum pulang ke Fortaleza.

Walaupun ketika ini digantung, pihak Velez Sarsfield masih lagi menjaga kebajikan Imanol Machuca dengan membayar gaji beliau untuk memastikan tiada isu berbangkit di masa akan datang.