Bekas jurulatih Uzbekistan, Timur Kapedze dicanang antara calon pengganti bekas jurulatih Indonesia, Patrick Kluivert.
Selepas PSSI mengambil keputusan menamatkan kerjasama dengan legenda Belanda itu pada Oktober lalu, khabar angin tentang calon jurulatih baharu Indonesia mula timbul.
Antara nama yang dikaitkan dengan kerusi panas tersebut ialah Kapedze, Shin Tae-yong, Jesus Casas, Philip Cocu dan jurulatih Persib Bandung, Bojan Hodak.
Walau bagaimanapun, pembantu Hodak di Persib, Igor Tolic dengan tegas menafikan khabar angin tersebut.
“Khabar angin cuma khabar angin, kami cuma fokus kepada Persib. Kami ingin memenangi perlawanan menentang Dewa (United).
“Dan perlawanan seterusnya, kami bakal berdepan aksi sukar. Kami sudah mengumpul 10 mata dalam ACL2 tapi masih belum layak (ke pusingan seterusnya).
“Jadi, kita harus mengambil serius semua perlawanan, teruskan rentak kemenangan dalam liga dan kami tiada masa dengan khabar angin,” katanya seperti dilaporkan Bandung Football.
Kapedze dilihat calon yang disebut-sebut menggantikan Kluivert. Ini kerana beliau tidak lagi bersama Persatuan Bola Sepak Uzbekistan (UFA) selepas membantu jurulatih Itali, Fabio Cannavaro menyesuaikan diri.
Malah, Kapedze sudah menyatakan kesediaan untuk kembali menjadi jurulatih dan memulakan tugas dengan serta-merta.