Asraruddin Putra ‘Belanja’ Aksi Hebat Di Arab Saudi
MakanBola
Johor Southern Tigers

Aksi bekas pertahanan kiri Harimau Malaya dan Johor Darul Ta’zim (JDT), Asraruddin Putra Omar di Arab Saudi meraih tumpuan peminat.

Nama Asraruddin Putra Omar sememangnya diingati sebagai salah seorang pertahanan kiri hebat yang pernah dimiliki oleh skuad negara suatu ketika dahulu dengan aksi bertenaga dan lincah di atas padang.

Difahamkan ketika ini, Asraruddin sudah pun menggantung but beliau dan mengambil peluang untuk berhijrah ke Arab Saudi bagi memenuhi impian sejak kecil untuk menetap di Tanah Suci.

Kerinduan peminat bagi menyaksikan Asraruddin akhirnya terubat apabila beliau memuat naik sebuah video bermain bola sepak bersama warga tempatan di sana yang dirakam oleh sahabatnya.

Walaupun sudah lama tidak beraksi secara profesional, akan tetapi Asraruddin tampaknya tidak kekok untuk ‘belanja’ aksi kawalan bola yang cukup sempurna persis 10-15 tahun yang lalu.

Tinjauan di ruangan komen menyaksikan bekas rakan-rakan sepasukannya sempat mengusik Asraruddin agar menyertai kelab gergasi Arab Saudi, Al-Hilal malah ada juga yang luah rasa rindu melihat aksi beliau.

”Tandatangan dengan Al-Hilal selepas ini,” usik Fitri Shazwan yang pernah bermain bersama Asraruddin Putra di Selangor suatu ketika dahulu.

”Terbaik lagenda,” tulis salah seorang peminat, Aqil Azahar.

”Pertahanan kiri terbaik suatu ketika dahulu,” kata Aiman Azizan pula.

Antara kejayaan hebat yang pernah dicapai oleh Asraruddin dahulu adalah memenangi kejuaraan Piala AFF Suzuki 2010 dan mempertahan pingat emas Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia.

Untuk rekod, Asraruddin telah mengumpul 25 kaps bersama Harimau Malaya dan pernah menyarung jersi pasukan hebat seperti Selangor, JDT, Penang serta Kelana United sebelum bersara pada 2022.