Harimau Malaya Ulang Pendekatan Sama
MakanBola
Malaysia NT

Pasukan Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski dilihat sekali lagi memilih pendekatan sama menjelang perlawanan Nepal vs Malaysia minggu hadapan.

Satu lagi ujian penting menanti skuad Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 apabila bakal menentang Nepal untuk aksi ke-5 peringkat kumpulan H pada minggu hadapan.

Cabaran berbeza dan pastinya bukan mudah akan menanti pasukan kebangsaan tatkala Nepal kini tidak lagi dibimbing oleh Matt Ross dan digantikan dengan Hari Khadka selaku jurulatih interim.

Menariknya, Peter Cklamovski dan pasukan kejurulatihan sekali lagi mengambil pendekatan untuk tidak mengatur sebarang aksi pemanas badan sebelum berdepan Nepal nanti.

Menurut Peter Cklamovski, tempoh seminggu sebelum aksi ini ingin dimanfaatkan untuk melakukan latihan khusus bagi menentang lawan persis Nepal ini seperti mana yang dibuat Mac lalu.

“Bagi saya, kami memutuskan untuk menggunakan tempoh ini sebagai satu blok latihan dan kalau kita imbas kembali, anda semua pernah tanya perkara yang sama pada bulan Mac lalu.”

Tambah beliau, walaupun hanya beraksi di penghujung kem, namun ini masa yang tepat buat pemain mempersiapkan diri selain melihat perkembangan cukup pesat di dalam pasukan sejak kali pertama bersama.

“Kami menggunakan kem pada bulan Mac sebagai kem pertama kami bersama-sama sebagai satu blok latihan dengan fokus pada perlawanan di penghujung kem dan kami membuat perkara yang sama di sini.”

“Perkembangan yang telah kami capai dari hari pertama Mac lalu sehingga kini hari pertama pada bulan November, adalah sangat besar,” komen Peter Cklamovski panjang lebar ketika ditemui pada Isnin lalu.

Untuk rekod, Malaysia dan Nepal bertemu pada bulan Mac lalu dalam perlawanan pertama Kelayakan Piala Asia 2027 yang berakhir dengan kemenangan buat Harimau Malaya 2-0.

Kali ini, Nepa dan Malaysia akan bertemu sekali lagi di Bukit Jalil dalam perlawanan ke-5 pada 18 November ini dengan sepak mula dijadualkan bermula tepat jam 9 malam.