Saifuddin Lihat Hanya Hamidin Calon Layak Terajui FAM
MakanBola
FA Malaysia

Bekas Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar melihat Tan Sri Haji Hamidin Haji Mohd Amin sebagai satu-satunya calon untuk menerajui FAM.

Pandangan itu dibuat beliau apabila diminta mengulas cara badan induk itu bangkit selepas dikenakan hukuman oleh FIFA.

Saifuddin melihat Presiden Kehormat FAM itu sebagai satu-satunya figura yang mampu menstabilkan semula badan induk bola sepak Malaysia itu.

Beliau turut menyarankan jawatan Setiausaha Agung FAM diisi oleh figura baharu yang lebih berkaliber dengan mengambil kira isu hukuman FIFA.

“Presiden baharu perlu dilantik segera, Setiausaha Agung perlu ditukar. Ini semua kesilapan yang telah dilakukan. Kalau boleh kena buat rombakan, tak semestinya dengan pemilihan baru.

“Kalau kamu tanya saya, terus terang saya cakap setakat ini, Tan Sri Hamidin saja yang boleh bawa kapal yang nak tenggelam,” katanya kepada Nadi Arena.

Jawatan Presiden FAM kosong apabila penyandang sebelumnya, Datuk Joehari Mohd Ayub meletak jawatan pada Ogos lalu.

Susulan itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi memikul peranan sebagai Pemangku Presiden FAM sehingga kongres badan induk itu yang seterusnya pada tahun hadapan.