Peluang Malaysia ‘Korek Rahsia’ Nepal
MakanBola
ANFA/MNT

Malaysia berpeluang untuk meneliti persiapan Nepal dengan lebih dekat menjelang perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 minggu hadapan.

Malaysia dan Nepal akan bertemu lagi dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 selepas kali terakhir berentap pada bulan Mac lalu yang menyaksikan kemenangan milik skuad negara.

Persiapan yang berbeza dilakukan oleh kedua-dua negara ini tatkala Malaysia memilih untuk tidak mengatur sebarang aksi pemanas badan dan hanya menjalani latihan khusus sebagai langkah menghadapi Nepal.

Manakala The Gorkhalis pula mengadakan aksi persahabatan bertemu Bangladesh di Dhaka sebelum terbang ke Bukit Jalil dengan misi mempersiapkan pasukan menjelang pertemuan menentang Malaysia.

Aksi antara Bangladesh vs Nepal ini dilihat umpama peluang terbaik buat barisan kejurulatihan Harimau Malaya untuk menganalisis kekuatan pasukan lawan yang akan dihadapi ini nanti.

Malah, pertemuan tersebut juga bakal menjadi aksi pertama buat Hari Khadka selaku jurulatih sementara Nepal selepas pengendali terdahulu, Matt Rose meletakkan jawatan baru-baru ini.

Peluang ini perlu digunakan sebaiknya buat pasukan negara untuk meneliti setiap aspek kekuatan dan kelemahan Nepal sebelum pertemuan penting di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 18 November ini.