Bek tengah Selangor FC, Harith Haiqal Adam Afkar mengakui gembira melihat Luqman Hakim Shamsudin kembali bersama Harimau Malaya.
Luqman menyertai kem skuad negara sebagai pengganti Jordan Mintah. Ini selepas penyerang Kuching City FC itu terpaksa menarik diri akibat masalah kesihatan.
Ini kali pertama Luqman bersama Harimau Malaya sejak aksi menentang Singapura pada tahun 2022.
Harith mengakui gembira melihat bekas penyerang KV Kortrijk itu bersama skuad kebangsaan. Beliau percaya Luqman mampu memberi kelebihan tambahan di jentera serangan.
“Sejujurnya, saya gembira dengan adanya dia kembali dalam Liga Malaysia (Liga M) dan dalam skuad kebangsaan kita.
“Sudah tentu saya gembira untuk dia. Saya rasa dia tambah baik sesuatu dalam pasukan. Dulu kita ada Arif Aiman, sekarang kita ada Luqman Hakim.
“Jadi, saya harap bila dia dapat peluang, dia akan berikan yang terbaik,” katanya kepada media.
Luqman sudah mula menemui sentuhan golnya. Dua gol beliau membantu Negeri Sembilan FC menewaskan Timor Leste dalam aksi persahabatan baru-baru ini.