Bekas pemain kebangsaan, Asmawi Bakiri menjumpai posisi terbaik buat penyerang Harimau Malaya, Luqman Hakim.
Nama Luqman Hakim kembali dipanggil ke kem latihan pusat Isnin lalu untuk menggantikan Jordan Mintah yang disisihkan akibat masalah kesihatan dan membuka peluang buat beliau menyertai skuad negara.
Kali terakhir Luqman menyarung jersi skuad Harimau Malaya ketika aksi persahabatan bertemu Singapura pada 2022 lalu sebelum bekas tonggak KV Kortrijk ini menyepi dari pasukan kebangsaan.
Kehadiran Luqman di dalam pasukan negara menimbulkan persoalan mengenai posisi terbaik buat pemain berusia 23 tahun ini seandainya diturunkan ketika aksi bertemu Nepal minggu hadapan.
Menurut Asmawi Bakiri, beliau sempat berbincang bersama Nidzam Jamil yang melatih Luqman di Negeri Sembilan dan mendapati posisi terbaik untuk pemain berusia 23 tahun ini adalah di belakang penyerang.
”Saya sebenarnya dah dapat peluang berbual lama dengan Nidzam Jamil tentang posisi Luqman Hakim ini, di manakah kedudukan sesuai untuk diletakkan,” jelas Asmawi Bakiri.
”Saya rasa Luqman ini perlu diletakkan di belakang pemain penyerang (targetman) yang berada di depan,” ujar beliau kepada hos Nadi Arena, Hafizal Hamad.
Sungguhpun begitu, beliau yang juga bekas pemain negara itu tidak menafikan usaha Luqman beraksi di sebelah sayap namun bekas tonggak Malaysia B-17 tersebut akan berdepan saingan sengit.
”Tidak menidakkan apa yang dilakukan atau kerja Luqman Hakim di sebelah sayap kanan atau kiri, kerana pada saya beliau ada teknik larian dari kawasan pinggul ke kaki yang menarik.”
”Tetapi buat masa yang sama, bagi meletakkan Luqman di sebelah sayap (membuatkan) dia terpaksa berebut tempat kerana kita sedia maklum Arif Aiman menguasai di sebelah kanan.”
”Kemudian, pemain lain yang dipanggil ada Ramadhan (Saifullah), Faisal Halim, Aliff Izwan dan Safawi (Rasid),” tambahnya lagi.
Luqman dan skuad Harimau Malaya ketika ini sedang giat melakukan persiapan rapi untuk menghadapi Nepal pada Selasa di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027.