Jordan Mintah Alami Masalah Tiroid
MakanBola
Malaysia NT

Penyerang Kuching City FC, Jordan Mintah dilihat tidak berada pada tahap kecergasan terbaik untuk mewakili Harimau Malaya.

Perkara ini dikongsikan Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Harimau Malaya, Dr Craig Duncan apabila ditanya tentang sebab penarikan diri Mintah.

Isu kesihatan penyerang berusia 29 tahun itu mula dikesan beberapa hari lalu. Ini selepas Mintah pada awalnya mengalami masalah selsema.

Hasil semakan data bekas penyerang Terengganu FC itu mendapati data tersebut tidak menepati tahap kecergasan pemain profesional.

“Kita ada sistem pemantauan yang bagus. Kita ada tapisan tapi kemudiannya, kita ada data semasa latihan dan semasa mereka tidur.

“Apabila data (prestasi) sudah keluar, saya akan kenal pasti sebagai zon prestasi paling baik. Jika benda ini tidak ada, maka kita akan siasat lebih lanjut. Itu yang berlaku (kepada Mintah).

“Doktor perubatan kita melakukan pemeriksaan lebih lanjut. Selepas itu, barulah kita mengambil langkah seterusnya,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

Mintah difahamkan berdepan masalah tiroid dan diletakkan di bawah pemantauan pakar perubatan. Perkara ini disahkan ejennya, Wan Anwari selepas melawat beliau di hospital baru-baru ini.

Susulan itu, penyerang Negeri Sembilan FC, Luqman Hakim Shamsudin dipanggil sebagai pengganti Mintah.