Selangor Berdepan Hukuman Berat?
MakanBola
Selangor FC

Selangor dilaporkan berdepan risiko dikenakan denda lebih berat susulan insiden tak diingini berlaku di Stadium MBPJ.

Beberapa insiden kekecohan telah berlaku sebelum ini di Stadium MBPJ melibatkan perlawanan pasukan Selangor sehingga tular di media sosial antara penyokong di venue.

Antara kejadian yang sempat tular sebelum ini adalah ketika aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Negeri Sembilan yang menyaksikan berlaku pergaduhan antara penyokong kedua-dua pasukan.

Malah, turut berlaku insiden penyokong yang menceroboh ke padang dan suasana tegang di perkarangan stadium selepas aksi AFC Champions League Two (ACL2) menentang Persib Bandung minggu lalu.

Susulan itu, tindakan berat berkemungkinan bakal dikenakan ke atas Selangor selaku pasukan tuan rumah mengambil kira keselamatan peminat yang hadir ke stadium bagi menonton aksi tersebut.

Berdasarkan laporan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Selangor berpotensi dijatuhkan hukuman yang berat susulan insiden kekecohan yang berlaku membabitkan para penyokong.

“Susulan kekecohan kerana insiden pergaduhan dan keganasan penyokong-penyokong berulang kali di Stadium MBPJ, Selangor FC mungkin berdepan hukuman atau denda berat,” lapor Zulhelmi Zainal Azam.

Walau bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai hukuman yang dikenakan tidak dinyatakan.