Nilai pasaran dua permata bola sepak Malaysia, Arif Aiman Hanapi dan Luqman Hakim Shamsuddin menjadi bualan peminat.
Kedua-duanya mendapat tempat dalam senarai 27 pemain ke kem latihan pusat skuad kebangsaan Harimau Malaya yang telah bermula pada Isnin, 10 November 2025 di Kuala Lumpur.
Arif Aiman merupakan tonggak utama bersama pasukan kebangsaan dan juga kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) sejak beberapa musim kebelakangan ini.
Berdasarkan catatan statistik, tonggak berusia 23 tahun itu telah merekodkan 17 penglibatan jaringan dalam 9 penampilan Liga Super musim ini.
Sementara itu, Luqman Hakim yang kini bersama Negeri Sembilan FC kembali mendapat sentuhannya setelah 1789 hari berkelana di luar negara.
Kepulangannya ke Malaysia telah membuka mata pengendali kebangsaan, Peter Cklamovski yang menagih khidmatnya bagi menggantikan penyerang naturalisasi negara, Jordan Mintah yang mengalami masalah kesihatan.
Anak jati Kelantan ini kembali mempamer bisa apabila menjaringkan dua gol ketika aksi persahabatan Tier 2 – Negeri Sembilan menewaskan Timor Leste dengan keputusan 2-1.
Catatan laman Transfermarkt menunjukkan bahawa nilai pasaran Arif Aiman kini mencecah 650,000 Euro (RM3.1 Juta) selain menjadi antara pemain paling bernilai buat skuad kebangsaan.
Luqman pula memiliki nilai pasaran setinggi 50,000 Euro (RM240,000) sekali gus jurang antara dua pemain ini mencecah RM2.86 Juta.
Kudrat dan kelincahan dua permata negara ini menjadi taruhan Harimau Malaya tatkala bakal berdepan pasukan ke-180 dunia, Nepal pada 18 November 2025 di Stadium Nasional, Bukit Jalil jam 9.00 malam.