Dua Pemain AMD Tolak Tawaran Kelab Bosnia?
MakanBola
NFDP

Dua pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dilaporkan telah menolak tawaran kelab Bosnia-Herzegovina, FK Sarajevo.

Perkara ini dikongsikan pemerhati bola sepak, Amin Fuad apabila mengulas isu pembangunan pemain muda di Malaysia.

Sebelum ini, tiga pemain AMD telah dipilih untuk menjalani sesi percubaan bersama FK Sarajevo pada Julai lalu.

Sepanjang tempoh mereka berada di sana, bakat mereka dilaporkan memikat barisan kejurulatihan dan pengurusan kelab itu.

Meskipun begitu, Amin melaporkan dua pemain yang mendapat tawaran FK Sarajevo itu dikatakan memilih untuk menolak tawaran berkenaan.

“Dua pemain AMD telah ditawarkan peluang (kontrak) oleh FK Sarajevo dan mereka sepatutnya mengambilnya,” katanya di X.

Amin turut berpandangan pemain-pemain muda Malaysia seharusnya melihat kelab di luar negara sebagai laluan untuk menempa karier dalam bola sepak.

Ini selepas beliau dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus melihat pembentangan selama dua jam yang dibuat pengarah akademi Cardiff City baru-baru ini.

“Saya dan Faliq Firdaus melihat pembentangan dua jam oleh pengarah akademi bola sepak Cardiff City. Anda takkan percaya betapa terperincinya mereka dalam aspek memastikan pembangunan pemain berada di landasan tepat.

“Dari segi laluan (karier sebagai pemain bola sepak), pemain-pemain Malaysia harus melihat melangkaui pasukan-pasukan tempatan,” ujarnya.

Isu pembangunan akar umbi bola sepak Malaysia timbul selepas skuad Malaysia B-16 dibelasah Croatia 11-0 baru-baru ini.