Kapten Harimau Malaya, Dion Cools berharap liga-liga Asia terutama Liga Malaysia (Liga M) mampu mencapai taraf liga Jepun.
Hal ini dinyatakan beliau apabila ditanya tentang pengalaman beraksi dalam saingan J-League 1 bersama Cerezo Osaka baru-baru ini.
Cools mengakui beliau menikmati pengalaman beraksi di liga berkenaan. Ini kerana setiap minggu, beliau dan Cerezo berdepan lawan yang berbeza dan sukar di liga Jepun.
Atas sebab itu, beliau berharap liga-liga Asia terutama Liga M dapat meningkatkan kualiti pertandingan agar ia setaraf dengan liga Jepun.
“Ya, saya seronok bermain di J-League. Anda boleh lihat banyak pasukan memiliki corak permainan yang unik dalam J-League.
“Jadi, setiap minggu anda tak tahu tentang jangkaan (berkenaan pihak lawan). Ia sesuatu yang bagus untuk dilihat.
“Saya harap lebih banyak pertandingan Asia (termasuk Liga M) akan mencapai taraf yang sama seperti yang berlaku di Jepun sekarang,” katanya.
Cools menyertai Cerezo sebagai ejen bebas selepas tamat kontrak bersama kelab gergasi Thailand, Buriram United pada Jun lalu.
Beliau merekodkan 12 penampilan, satu gol dan satu bantuan gol. Kombinasi Cools bersama bekas pemain Manchester United, Shinji Kagawa untuk mencipta gol Cerezo menjadi bualan penyokong baru-baru ini.