Skuad U12 JDT, Dari Akademi ke Legasi
MakanBola
Johor Southern Tigers

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) terus unggul bukan sahaja di peringkat senior, tetapi juga melalui pembangunan pemain muda. Tahun ini dan setakat ini, skuad JDT Bawah 12 Tahun (U12) telah mencipta gelombang kejayaan di pelbagai kejohanan domestik dan antarabangsa, termasuk National Schools, La Liga Youth Tournament, JSE International Football Festival, dan Johor Cup.

Setiap trofi tersebut adalah manifestasi sistem pembangunan pemain muda yang holistik, berstruktur, dan berpandukan visi Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang menekankan kesinambungan legasi serta pembentukan bakat yang berkaliber tinggi sejak usia muda.

Dalam akademi JDT, pembangunan pemain bukan sekadar tentang teknik. Pemain-pemain ini dibentuk secara psikofizikal, taktikal, dan mental. Mereka dilengkapi dengan kemahiran teknikal, resiliensi mental, mental toughness, winning mentality dan literasi taktikal.

Setiap latihan, perlawanan dan sesi taktikal adalah eksperimen berstruktur, membolehkan pemain membaca permainan, membuat keputusan kritikal di bawah tekanan, dan menyesuaikan diri dengan pelbagai corak permainan. Sebagai persediaan kolektif dan menyeluruh untuk pentas kompetitif yang lebih tinggi.

Selain pencapaian yang telah dinyatakan, skuad U12 juga sedang beraksi di Singapore Youth League U13 bersaing dalam kategori umur lebih tinggi dan telahpun berjaya melangkah ke perlawanan akhir yang dijadualkan sekitar hujung bulan November 2025. Ini menunjukkan tahap kesiapsiagaan dan potensi pemain muda JDT tersebut untuk bersaing bukan sahaja dengan rakan sebaya, tetapi juga dengan pemain yang lebih tua, satu indikator penting dalam pembangunan bakat jangka panjang.

Dari perspektif masa depan, pemain-pemain U12 dijangka matang sepenuhnya dalam 5–7 tahun, sekiranya dibimbing secara konsisten. Dalam tempoh itu, mereka akan menjadi tonggak skuad senior JDT dan pemangkin pasukan kebangsaan, mengukuhkan prestasi Malaysia di pentas Asia dan antarabangsa. Sekaligus menjadi rentetan sumbangan amat besar JDT untuk negara sejak kewujudannya.

Setiap pengalaman, cabaran, dan kemenangan adalah modul pembelajaran bersepadu, membentuk pemain bermental juara, bersedia menghadapi tekanan tinggi, dan berdisiplin secara konsisten, asas kepada kecemerlangan berterusan.

Kejayaan U12 ini juga menegaskan bahawa pendekatan JDT bukan hanya tertumpu kepada kemenangan jangka pendek, tetapi lebih kepada manifestasi budaya profesionalisme dan pembentukan generasi pemain berkualiti tinggi sejak dari usia muda. Setiap kemenangan, setiap kejuaraan yang dijulang, dan setiap pengalaman di pentas antarabangsa adalah sebahagian daripada proses membentuk pemain yang mampu menggalas tanggungjawab besar pada masa depan.

Secara keseluruhan, prestasi skuad U12 JDT adalah simbol aspirasi kelab dan DYAM Tunku Mahkota Ismail untuk membina legasi berterusan. Ia bukan hanya pencapaian peribadi untuk pemain muda, tetapi juga bukti bahawa JDT berjaya membentuk pemain masa depan yang akan mengharumkan nama kelab dan negara.

Akhir kata, cerita masa hadapan JDT semakin jelas. Segala impian dan cita-cita DYAM Tunku Mahkota Ismail terhadap pembangunan akar umbi juga sudah semakin menampakkan impak positif.

“Masa depan bola sepak kita bergantung kepada pembangunan akar umbi”- 16 Oktober 2014, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor