Ekor Harimau Malaya ditagih untuk memenuhkan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Nepal.
Aksi ini cukup istimewa kerana ini bukan saja aksi terakhir Harimau Malaya untuk tahun 2025. Malah, ini juga aksi terakhir di laman sendiri buat skuad negara dalam Kumpulan F.
Tiket perlawanan sudah dijual dengan tiket kategori terbuka (dewasa) dijual pada harga RM40. Kanak-kanak pula boleh mendapatkan tiket kategori sama pada harga RM5.00.
Tiket kategori Grandstand dan Premium pula masing-masing dijual pada harga RM60.00 dan RM70.00.
Meskipun kelebihan tampak memihak kepada anak buah Peter Cklamovski, sorakan Ekor Harimau Malaya masih ditagih di SNBJ.
Ini kerana sorakan penyokong bukan saja diharap membantu Harimau Malaya mengekalkan rekod 100% dalam Kumpulan F.
Selain itu, skuad negara juga masih belum tewas sejak dibimbing bekas jurulatih FC Tokyo itu pada Januari lalu.
Sekiranya Malaysia berjaya menewaskan Nepal, skuad negara akan mengungguli Kumpulan F dengan 15 mata. Ini sekaligus membuka ruang kepada skuad negara makin hampir ke Piala Asia 2027.
Harimau Malaya akan berentap dengan Nepal pada 18 November ini. Malaysia berharap dapat mengulangi kejayaan menewaskan pasukan Asia Selatan itu di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Mac lalu.
Penyokong yang masih belum mendapatkan tiket boleh mendapatkannya di platform Tickethotline.