Indonesia menetapkan sasaran layak ke Piala Dunia 2030.
Hal ini berdasarkan Peta Hala Tuju Timnas Indonesia Sehingga 2030 yang dikongsikan portal SEAsiagoal.
Mengikut sasaran yang digariskan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Indonesia disasar berada dalam kelompok 110 pasukan terbaik FIFA pada 2026.
Ini disusuli sasaran mara ke peringkat suku akhir Piala Asia 2027. Pencapaian itu dilihat kunci untuk Indonesia berada dalam kelompok 95 pasukan terbaik dunia pada 2027.
Tempoh 2028 hingga 2030 pula menyaksikan Indonesia disasarkan berada dalam kelompok 80 hingga 85 pasukan terbaik dunia.
Tempoh ini juga yang menjadi sasaran PSSI untuk melihat Indonesia layak ke Piala Dunia buat julung kalinya.
PSSI turut merangka beberapa strategi akar umbi bagi merealisasikan peta hala tuju berkenaan. Salah satunya ialah menggabungkan pemain Indonesia B-20 dan B-23 dalam Timnas Indonesia.
Ini bertujuan mendedahkan pemain-pemain daripada dua skuad itu dengan pengalaman berlatih bersama pemain senior Indonesia.
Peta hala tuju ini dirangka selepas Tim Garuda gagal layak ke Piala Dunia 2026. Indonesia terkandas di pusingan keempat kelayakan selepas tewas kepada Iraq dan Arab Saudi.