Peter Cklamovski: Kami Mahu Jaringkan Sebanyak Mungkin Gol
MakanBola
FA Malaysia

Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski mahu melihat pasukan itu menjaringkan lebih banyak gol apabila bertemu dengan Nepal.

Hal ini dinyatakan beliau dalam sidang media praperlawanan kelayakan Piala Asia 2027 Kumpulan F membabitkan kedua-dua pasukan itu.

Meskipun skuad negara terpaksa melupakan khidmat Romel Morales akibat kecederaan, Cklamovski percaya barisan pemain yang ada mampu memikul tugas sebagai peledak gol.

“Ini bukan tentang seorang pemain dan itu takkan berlaku. Sesiapa saja yang bermain dalam kesebelasan utama akan tahu apa yang perlu dilakukan.

“Kita akan bermain bola sepak kita dan ia satu penghormatan bagi pemain yang masuk sebagai pemain gantian untuk membuat impak.

“Kita akan lakukan perkara yang sama dan menamatkan permainan dengan bergaya (menjaringkan sebanyak mungkin gol),” katanya.

Tujuh pemain dijangka memberi pilihan kepada Cklamovski sebagai calon merobek gawang The Gorkhalis di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Mereka ialah Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim, Ramadhan Saifullah Usman, Safawi Rasid, Paulo Josue, Aliff Izwan Yuslan dan Luqman Hakim Shamsudin.