Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengulas panjang mengenai spekulasi liar libatkan masa depan beliau bersama pasukan Malaysia.
Sebelum ini, timbul khabar angin mengatakan bahawa aksi Nepal vs Malaysia bakal menjadi perlawanan terakhir Peter Cklamovski bersama pasukan Harimau Malaya yang dilatih sejak awal tahun ini.
Dakwaan tersebut muncul ketika mana Malaysia dikenakan hukuman oleh FIFA atas tuduhan memalsukan dokuman 7 pemain warisan yang sedang menjalani penggantungan kini.
Peter Cklamovski akui terkejut saat mendengar ura-ura itu namun tidak hairan memandangkan ini antara asam-garam dalam dunia bola sepak lebih-lebih melibatkan masa depan seseorang pemain atau jurulatih.
”Khabar angin itu mengejutkan saya sedikit tapi inilah bola sepak, boleh berlaku (spekulasi sebegitu),” jawab Cklamovski ketika sesi sidang media praperlawanan Nepal vs Malaysia.
Walau bagaimanapun, bekas jurulatih FC Tokyo itu tegaskan bahawa keutamaan beliau ketika ini hanyalah bersama skuad Harimau Malaya yang berdepan misi penting bertemu Nepal pada Selasa.
”Sekali lagi, fokus saya ketika ini hanyalah (persiapan) hari ini serta memastikan malam esok (Selasa) kita mengutip 3 mata dan tamatkan musim di tangga teratas,” tegas beliau.
”Selain itu, untuk membuatkan seluruh negara yakin dengan pasukan yang kita sedang bina dan akan jadi nanti, ini adalah apa yang saya fikirkan ketika ini.”
Untuk rekod, Peter Cklamovski telah mengendalikan 7 aksi Harimau Malaya sejak diumumkan pada Disember lalu dan Malaysia berjaya mencatat 6 kemenangan serta satu kali seri.
Ujian berikutnya yang bakal menanti Peter Cklamovski dan Harimau Malaya adalah Nepal dalam aksi ke-5 kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Bukit Jalil pada Selasa.