Ketua Jurulatih Malaysia, Peter Cklamovski mendedahkan bahawa sudah lama memerhatikan penyerang sensasi Negeri Sembilan FC, Luqman Hakim Shamsudin untuk dipanggil memperkuatkan skuad kebangsaan.
Cklamovski berkata beliau sudah beberapa bulan memantau perkembangan Luqman sejak pemain berusia 23 tahun itu mengambil keputusan kembali ke Malaysia dan menyertai Negeri Sembilan.
“Sudah pasti kita menjumpai pemain baru (Luqman Hakim). Saya sudah memerhatikan Luqman sejak beberapa bulan lalu selepas beliau kembali ke Liga Super.
“Sejak bulan Ogos, dia membina minit permainan dan empat hingga lima perlawanan terkahir, beliau telah beraksi 90 minit. Dia pemain yang mengujakan dan memukau ketika di dalam kem latihan,” jelas Cklamovski dalam sidang media pra-perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal.
Dalam masa yang sama, Cklamovski bersama barisan kejurulatihan menegaskan bahawa mereka komited untuk mengoptimumkan potensi Luqman Hakim sebagaimana pemain lain sepanjang tempoh kem latihan skuad kebangsaan.
Terdahulu, nama Luqman Hakim dipanggil ke skuad kebangsaan bagi menggantikan penyerang berbisa Kuching City FC, Jordan Mintah yang terpaksa diketepikan ekoran masalah kecederaan.
Malaysia dijadualkan turun menentang Nepal dalam aksi kelima Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa. Ketika ini, Harimau Malaya kekal gah di puncak Kumpulan F selepas mengumpul 12 mata maksimum hasil empat kemenangan berturut-turut sebelum ini.