Pertahanan Kanan Atau Tengah? Ini Jawapan Padat Dion Cools
MakanBola
FA Malaysia

Dion Cools tidak kisah bermain di bek kanan atau bek tengah selagi mana beliau dapat menyumbang kepada Harimau Malaya.

Hal ini dinyatakan pemain pertahanan Cerezo Osaka itu apabila ditanya sama ada beliau lebih gemar beraksi sebagai bek kanan atau bek tengah.

Ini kerana Cools dilihat selesa beraksi di kedua-dua posisi itu baik di peringkat kelab mahupun bersama Harimau Malaya.

Bekas pemain pertahanan Buriram United itu tidak kisah beraksi di posisi mana yang dimahukan jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski.

Ini kerana selagi mana beliau dapat memberi sumbangan bermakna kepada Harimau Malaya, maka itu sudah cukup baginya.

“Sejujurnya, pada hemat saya, tak kisah (di posisi mana saya bermain),” katanya dalam sidang media praperlawanan.

“Selagi mana saya boleh menyumbang kepada pasukan, itu perkara paling penting bagi saya.”

Selain dua posisi berkenaan, Cools juga mampu beraksi sebagai bek kiri dan pemain sayap berdasarkan pengalaman di peringkat kelab.

Pengalaman pemain berusia 29 tahun itu dijangka ditagih Harimau Malaya untuk aksi menentang Nepal pada 18 November ini.