Penjelasan Selangor Tentang 4 Insiden Didenda FAM
MakanBola
Selangor FC

Selangor tampil memberikan penjelasan mengenai insiden kekecohan yang menyebabkan mereka didenda oleh FAM.

Sabtu lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan telah menjatuhkan hukuman buat Selangor FC di atas kekecohan yang berlaku ketika perlawanan suku akhir kedua Piala FA.

Jawatankuasa Tatatertib FAM mengenakan hukuman denda sebanyak RM100,000 dan beraksi tanpa penonton selama 2 perlawanan dalam Piala FA bermula pada aksi separuh akhir kedua menentang Sabah nanti.

Lantaran itu, Selangor FC telah memuat naik satu kenyataan mengenai keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM bersama penjelasan yang berlaku insiden antara penyokong ketika itu.

Insiden 1: Pihak kelab ingin menjelaskan bahawa penyokong Selangor FC tidak terlibat dalam insiden membakar dan melempar mercun di dalam stadium.

Insiden 2: Pihak kelab ingin menjelaskan bahawa penyokong Selangor FC tidak merosak atau melontarkan bangku tempat duduk yang mengakibatkan kecederaan kepada penyokong pelawat di dalam stadium semasa perlawanan berlangsung. Pihak kelab mendapati kerosakan dan kehilangan bangku tempat duduk adalah di kawasan penyokong pelawat sahaja.

Insiden 3: Pihak kelab ingin menjelaskan bahawa tiada tetamu berstatus VVIP Selangor FC yang melontar bekas minuman plastik ke kawasan tempat duduk keluarga pasukan pelawat.

Insiden 4: Pihak kelab ingin menjelaskan bahawa penyokong Selangor FC tidak membuat provokasi yang mengakibatkan kekecohan di dalam stadium. Kekecohan antara penyokong di dalam stadium berpunca apabila penyokong pasukan pelawat membakar dan melempar mercun ke tempat duduk penyokong Selangor FC.

Di akhir kenyataan, pihak kelab menegaskan bakal membuat rayuan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM dan tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang mengancam keselamatan penyokong.