Selangor FC menafikan wujud insiden tetamu kenamaan bersikap biadap ketika aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Negeri Sembilan FC.
Sebelum ini, Selangor dikenakan denda RM100,000 dan bermain tanpa penonton untuk dua aksi Piala FA.
Hukuman tersebut dijatuhkan Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas mengambil kira pelbagai insiden yang berlaku dalam perlawanan itu.
Salah satu daripadanya ialah insiden seorang tetamu kenamaan didakwa membaling bekas minuman ke arah keluarga pemain Negeri Sembilan.
Susulan itu, pengurusan Selangor mengeluarkan kenyataan menafikan insiden tersebut berlaku.
“Pihak kelab ingin menjelaskan bahawa tiada tetamu berstatus VVIP Selangor FC yang melontar bekas minuman plastik ke kawasan tempat duduk keluarga pasukan pelawat,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Selangor turut menegaskan insiden pergaduhan yang berlaku dalam aksi sama tercetus akibat provokasi penyokong Negeri Sembilan terhadap penyokong tuan rumah.
“Pihak kelab ingin menjelaskan bahawa penyokong Selangor FC tidak membuat provokasi yang mengakibatkan kekecohan di dalam stadium.
“Kekecohan antara penyokong di dalam stadium berpunca apabila penyokong pasukan pelawat membakar dan melempar mercun ke tempat duduk penyokong Selangor FC,” ujarnya.
Susulan itu, Selangor memaklumkan akan mengemukakan rayuan kepada FAM berhubung hukuman tersebut.
Ini selaras dengan kenyataan ringkas Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor, Datuk Seri Shahril Mokhtar bahawa pasukan itu akan merayu hukuman yang dijatuhkan badan induk itu.