Bekas penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak menyifatkan hukuman bermain tanpa penonton merugikan Selangor FC menjelang aksi separuh akhir kedua Piala FA.
Selangor dikenakan hukuman tersebut dan denda RM100,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM baru-baru ini.
Ini disebabkan beberapa insiden yang tercetus semasa aksi suku akhir kedua antara pasukan itu dan Negeri Sembilan FC pada akhir Oktober lalu.
Antara insiden yang tercetus ialah pergaduhan antara penyokong, penyokong membaling botol dan mercun serta dakwaan tindakan biadap tetamu kenamaan semasa perlawanan.
Susulan itu, pengurusan The Red Giants mengeluarkan kenyataan berhubung semua insiden yang dinyatakan.
Zaquan menyifatkan sekiranya hukuman beraksi tanpa penonton dikuatkuasakan, ini akan merugikan Selangor.
Ini kerana sorakan penyokong bukan saja menyuntik semangat pemain untuk berjuang hingga ke final. Malah, ini juga merugikan penyokong kerana tidak dapat meraikan kemaraan Selangor sekiranya mereka layak.
“Sebagai pemain, mereka memerlukan penyokong-penyokong untuk hadir ke stadium untuk memberikan semangat. Menang atau kalah, itu belakang kira.
“Tapi kehadiran penyokong memberi semangat kepada pemain, itu sangat penting. Jika hukuman ini (bermain tanpa penonton) terus berjalan, ini akan merugikan pasukan Selangor.
“Jika kita sebagai pemain beraksi di separuh akhir, itu lebih menarik daripada final kerana dapat melangkah ke final. Jika ini terjadi kepada pasukan Selangor, saya pasti ini akan merugikan pemain dan penyokong,” katanya semasa menjadi panel Sebelas Utama.
Selangor kini dalam proses mengemukakan rayuan kepada FAM. Sekiranya itu gagal, Selangor akan berdepan Sabah FC untuk aksi separuh akhir kedua pada 30 November tanpa penonton.
Satu lagi aksi tanpa penonton bakal berkuatkuasa untuk aksi laman sendiri pertama Selangor dalam Piala FA musim hadapan.