Pengendali skuad futsal Malaysia, Rakhpol Sainetngam menyifatkan acara futsal Sukan SEA 2025 di Thailand persis Piala Asia Futsal.
Pandangan itu dibuat beliau selepas meneliti lawan yang dihadapi skuad negara dalam temasya yang akan berlangsung pada bulan hadapan.
Acara futsal Sukan SEA 2025 disertai Malaysia, tuan rumah, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Myanmar.
Menariknya, tiga pasukan iaitu Thailand, Indonesia dan Vietnam berada dalam kelompok 30 pasukan terbaik dunia. Thailand menduduki tangga ke-11 dunia.
Indonesia dan Vietnam masing-masing menduduki tangga ke-23 dan ke-26 dunia. Thailand juga turun sebagai pasukan kedua terbaik Asia.
Rakhpol mengakui bukan mudah berdepan cabaran tiga pasukan serantau yang berstatus antara 10 pasukan terbaik Asia.
Pada masa sama, itu bukan halangan buat anak buahnya mencipta kejutan apabila temasya Sukan SEA berlangsung nanti.
“Sukan SEA bukan lagi tahap ASEAN tapi tahap Asia. Ini kerana Thailand berada dalam kelompok teratas ranking dunia (ranking ke-11 dunia).
“Indonesia juga sudah menunjukkan tahap mereka di Asia. Vietnam juga bekerja keras untuk capai tahap sama. Bagi saya, kita boleh lawan dan berikan yang terbaik demi Malaysia.
“Ini kerana saya percaya kita boleh lakukan sesuatu yang istimewa. Saya beritahu mereka, saya yakin dengan mereka dan mereka pasukan yang bagus,” katanya.
Sukan SEA turut dilihat medan persiapan skuad negara sebelum menghadapi Piala Asia Futsal 2026. Malaysia berada dalam Kumpulan D bersama juara Asia, Iran, Afghanistan dan Arab Saudi.
Rakhpol turut memaklumkan skuad futsal Malaysia bakal mengadakan beberapa aksi persahabatan di Thailand sebelum Sukan SEA bermula.