FIFA Buka Siasatan Babitkan 3 Perlawanan Harimau Malaya
MakanBola
VFF

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menerusi Jawatankuasa Tatateribnya mahu melakukan siasatan terhadap tiga perlawanan membabitkan aksi Harimau Malaya.

FIFA telah pun mengeluarkan butiran penuh bertulis berhubung penolakan rayuan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung tujuh pemain warisan negara.

 FIFA mengesahkan bahawa telah mengekalkan sepenuhnya hukuman yang telah dijatuhkan sebelum ini termasuk denda terhadap FAM serta penggantungan dan denda individu kepada setiap pemain.

“Selaras dengan perkara-perkara di atas, Jawatankuasa merumuskan bahawa tiada asas untuk mengetepikan Keputusan Rayuan tersebut. 

“Sehubungan itu, keputusan berkenaan disahkan dan rayuan Para Perayu ditolak sepenuhnya. Maka dengan itu, kos prosiding ini hendaklah ditanggung oleh Para Perayu secara sama rata, selaras dengan Artikel 49 FDC.

“Setelah mencapai kesimpulan ini, Jawatankuasa menganggap perlu untuk membuat beberapa penjelasan tambahan. 

FIFA juga menerusi Jawatankuasa Rayuannya bakal membuka kertas siasatan baharu berhubung isu FAM dan tujuh pemain ini.

“Berdasarkan keterangan yang dikemukakan serta hasil prosiding ini, Jawatankuasa mendapati terdapat alasan kukuh untuk memulakan siasatan lanjut menurut Artikel 30, 35 dan 55(1)(f) serta (2) FDC. 

“Peruntukan-peruntukan ini memberi kuasa kepada Jawatankuasa untuk mengeluarkan arahan bagi memastikan semua aspek salah laku, atau akibat daripadanyadisiasat sepenuhnya,” ujar kenyataan FIFA.

“Sebagai fokus awal, siasatan hendaklah meneliti peranan Setiausaha Agung FAM serta dua ejen berlesen FIFA yang dinamakan dalam prosiding ini: Encik Nicolás Puppo dan Encik Frederico Moraes. 

“Penglibatan mereka menimbulkan kebimbangan serius yang wajar disiasat secara menyeluruh.

FIFA juga mahu menyiasat tiga perlawanan persahabatan Harimau Malaya yang membabitkan penglibatan pemain-pemain ini.

“Seiring itu, Jawatankuasa mengarahkan Sekretariat untuk memulakan satu siasatan berasingan berhubung penurunan pemain yang tidak layak dalam konteks tiga perlawanan persahabatan yang dirujuk dalam prosiding ini. 

“Siasatan tersebut hendaklah mengenal pasti keadaan di mana sebahagian pemain telah beraksi serta menentukan sama ada tindakan tatatertib tambahan adalah wajar,” ujar kenyataan FIFA.

Situasi ini memungkinkan terdapat penolakan mata FIFA berlaku sekiranya terdapat keputusan tambahan daripada Jawatankuasa Rayuan FIFA.

Perlawanan-perlawanan ini dijangka melibatkan aksi persahabatan Tier 1 menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin.