Ini Hujahan 7 Pemain Warisan Harimau Malaya Kepada FIFA
MakanBola
Malaysia NT

Sesi pendengaran telah diadakan oleh FIFA baru-baru ini yang memberikan pendedahan secara langsung mengenai pengalaman dan penjelasan 7 pemain warisan yang mewakili Harimau Malaya.

Dokumen rasmi FIFA sebanyak 63 muka surat menunjukkan bahawa kesemua pemain menjelaskan peranan mereka dan keterlibatan individu di sebalik tabir dalam proses pengesahan dokumen kewarganegaraan sebelum mewakili Malaysia.

Pemain pertama, Gabriel Palmero Arrocha, pada awalnya menyatakan neneknya dilahirkan di Sepanyol tapi kemudian membetulkan kepada Malaysia. Beliau mengakui bahawa beliau hadir ketika bapanya menyerahkan dokumen keluarga kepada ejen tetapi tidak meneliti dokumen tersebut. Dia menegaskan bahawa beliau bergantung kepada ejen dan tidak mengetahui proses lanjut, malah menambah bahawa beliau tidak membuat sebarang pertanyaan selepas mengetahui isu pemalsuan.

Facundo Garcés pula sebagai pemain kedua mendedahkan bahawa peluang mewakili Malaysia datang melalui ejen beliau, Federico Raspanti, berdasarkan hubungan keluarga yang dikatakan. Garcés hanya mengenali datuknya secara ringkas di Argentina dan menegaskan kedua ibu bapanya lahir di Argentina. Dokumen dikemukakan atas arahan ejen tanpa disemak sendiri. Beliau menafikan sebarang penglibatan dalam pemalsuan, menyatakan isu itu berpunca daripada FAM dan kekeliruan dokumen.

Seterusnya, Rodrigo Holgado menyifatkan peluang mewakili Malaysia sebagai ‘kesempatan untuk kerjaya’. Beliau akui bapanya lahir di Argentina dan percaya datuknya lahir di Malaysia berdasarkan cerita keluarga. Holgado menegaskan beliau tidak pernah ke Malaysia sebelum ini dan menyerahkan dokumen yang dihantar bapanya tanpa menyemak. Beliau juga tidak menghubungi ejen atau FAM selepas tindakan disiplin diambil, kerana percaya kepada ejen dan pihak sekitar.

Pemain sayap lincah, Imanol Machuca menyatakan neneknya dilahirkan di Malaysia dan mengakui menghantar dokumen atas arahan ejen tanpa memeriksa. Beliau tidak mengetahui tentang pemalsuan dokumen sehingga penggantungan dikenakan.

Joao Figueiredo Brandão, memberitahu kedua ibu bapanya lahir di Brazil, datuknya dari Brazil sementara neneknya dari Malaysia. Beliau tegaskan peluang bermain untuk Malaysia datang melalui ejen dan beliau menyerahkan dokumen tanpa menyemak sendiri.

Pertahanan tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) Jon Irazabal, mendedahkan datuknya lahir di Malaysia. Beliau menukar ejen untuk peluang bermain di Malaysia dan menyerahkan dokumen yang diminta oleh ejen baru tersebut.

Seorang lagi pemain JDT, Hector Hevel, memulakan karier di kelab Malaysia pada Jun 2025. Beliau mengaku neneknya lahir di Malaysia tetapi tidak pernah tinggal di Malaysia selama sepuluh tahun walaupun menandatangani dokumen menyatakan sebaliknya. Beliau menyerahkan dokumen atas arahan ejen dan tidak mengambil sebarang langkah untuk menyemak selepas mengetahui isu pemalsuan.

Berdasarkan kenyataan pemain semasa sesi pendengaran, jelas bahawa semua pemain menegaskan mereka menyerahkan dokumen berdasarkan arahan ejen dan tidak mengetahui sebarang pemalsuan. FIFA dalam dokumen rasmi menekankan bahawa walaupun pemain mengaku tidak terlibat secara langsung, isu pemalsuan dokumen menjejaskan integriti permainan dan menjadi punca utama keputusan untuk menolak rayuan FAM dan pemain.

Kesimpulan dokumen rasmi FIFA menegaskan bahawa kesalahan yang diperiksa menjejaskan asas integriti bola sepak. Kelayakan pemain mewakili pasukan negara bukan sahaja keperluan prosedur, tetapi prinsip fundamental yang mengekalkan kredibiliti pertandingan antarabangsa dan kepercayaan pihak berkepentingan. Cubaan memalsukan dokumen untuk menipu badan pengurusan dan mengelak peraturan adalah pelanggaran serius.

Berdasarkan bukti dan hasil prosiding, jawatankuasa FIFA menyatakan tiada asas untuk membatalkan keputusan yang dipertikaikan, menolak rayuan FAM dan pemain sepenuhnya. Kos prosiding akan ditanggung secara sama rata oleh pemohon.

Selain itu, FIFA mengarahkan siasatan lanjut terhadap operasi dalaman FAM, termasuk peranan Setiausaha Agung FAM dan dua ejen berlesen, serta siasatan berasingan mengenai penggunaan pemain yang tidak layak dalam tiga perlawanan persahabatan yang disebut. Pihak berkuasa jenayah di Brazil, Argentina, Belanda, Sepanyol, dan Malaysia turut akan dimaklumkan kerana pemalsuan dokumen merupakan kesalahan jenayah di negara-negara tersebut.