FAM Mulakan Langkah Ke CAS
MakanBola
FA Malaysia

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pantas memulakan langkah ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) setelah FIFA mendedahkan sebab menolak rayuan Malaysia.

Dalam sebuah kenyataan, Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi memaklumkan bahawa pihaknya sudah menerima alasan penuh daripada FIFA berhubung penolakan rayuan FAM berkaitan status kelayakan 7 pemain warisan.

Langkah seterusnya bakal diambil dengan membawa kes ini ke CAS demi memastikan keadilan buat semua pihak terlibat dan mempertahankan integriti proses kelayakan pemain yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan badan berkaitan.

“Sehubungan itu, FAM akan memulakan proses untuk membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan,” umum badan induk itu.

FAM tetap komited memperjuangkan hak semua pemain yang layak mewakili negara, dan akan memastikan setiap tindakan diambil secara profesional, telus serta mengikut saluran undang-undang yang sewajarnya.

Terdahulu, FIFA dalam sebuah dokumen rasmi sebanyak 63 muka surat mendapati bahawa bukti yang disediakan oleh FAM menunjukkan wujud dokumen yang telah diubah suai khususnya sijil kelahiran datuk atau nenek pemain yang tidak sepadan dengan rekod sebenar.