Ranking Masa-Nyata FIFA: Malaysia Melonjak Lagi, Pintas Dua Negara Afrika
MakanBola
Nursaifulsyah/MakanBola

Kejayaan Harimau Malaya atasi Nepal memberikan lonjakan tinggi untuk Malaysia dalam kedudukan ranking masa-nyata FIFA sekaligus memintas dua negara Afrika yang lain.

Pada Selasa, pasukan Harimau Malaya di bawah bimbingan Peter Cklamovski turun dalam perlawanan ke-5 kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Bukit Jalil.

Walaupun tampak bergelut di awal aksi, jaringan Faisal Halim sudah cukup untuk memberikan 3 mata berharga buat skuad negara hasil kemenangan 1-0 di hadapan 14,243 penyokong.

Kemenangan ini bukan sahaja menghadiahkan 3 mata, malah menyumbang sebanyak +6.88 mata ranking dan meletakkan Malaysia kini di kedudukan ke-116 dunia, melonjak dua anak tangga.

Kedudukan masa-nyata kini bahkan menyaksikan Malaysia berjaya memintas dua buah negara dari negara Afrika iaitu The Gambia dan Namibia yang masing-masing di tangga ke-117 dan 118 dunia.

Ujian seterusnya menanti pasukan Harimau Malaya adalah negara jiran Asean, Vietnam dalam aksi terakhir kumpulan F pada bulan Mac hadapan di tempat lawan.