Malaysia terus kukuhkan kedudukan selepas tamat aksi bertemu Nepal dan perlawanan antara Laos vs Vietnam.
Pada Selasa, pasukan Harimau Malaya di bawah bimbingan Peter Cklamovski turun dalam perlawanan ke-5 kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Bukit Jalil.
Walaupun tampak bergelut di awal aksi, jaringan Faisal Halim sudah cukup untuk memberikan 3 mata berharga buat skuad negara hasil kemenangan 1-0 di hadapan 14,243 penyokong.
Manakala satu lagi aksi kumpulan F menyaksikan Vietnam berjaya mengutip 3 mata penuh hasil kemenangan ke atas Laos 2-0 dengan Xuan Son mencetak salah satu gol untuk pelawat.
Dengan tamatnya dua aksi ini, Malaysia masih mengekalkan kedudukan di tangga teratas kumpulan F mengutip 15 mata maksimum hasil 5 kemenangan yang dicatat skuad negara.
Pencabar Harimau Malaya, Vietnam pula berada di tangga kedua kumpulan dengan mengumpul 12 mata diikuti Laos dan Nepal yang menghuni dua kedudukan tercorot selepas 5 aksi.
Perlawanan terakhir peringkat kumpulan F akan berlangsung pada Mac 2026 dengan Malaysia bakal berkunjung ke laman Vietnam sementara Laos serta Nepal akan bertemu sesama sendiri.