Singapura mencipta sejarah hebat ke Piala Asia 2027 apabila menewaskan Hong Kong 2-1.
Kedua-dua pasukan sedar mereka perlu menang jika ingin layak. Ini ditambah dengan hanya juara kumpulan saja layak ke Piala Asia 2027.
Penyerang Ratchaburi, Ikhsan Fandi mengetuai jentera serangan Singapura. Penyerang berdarah Brazil, Everton Camargo mengetuai jentera serangan Hong Kong.
Separuh masa pertama menyaksikan Hong Kong berusaha mencari gol awal menerusi Camargo dan Matthew Orr.
Gol yang dicari Hong Kong muncul pada minit ke-15 menerusi Orr. Penyerang Shenzhen Peng City itu mudah menolak bola melepasi Izwan Mahbud.
Singapura cuba bangkit memburu gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, The Lions semakin garang menguji kubu tuan rumah diketuai Leon Jones.
Jurulatih interim Singapura, Gavin Lee kemudiannya memasukkan adik Ikhsan, Ilhan Fandi menggantikan Glenn Kweh.
Kemasukan penyerang Buriram United itu membuahkan hasil apabila Shawal Anuar menyamakan kedudukan pada minit ke-63.
Lima minit kemudian, giliran Ilhan pula merobek gawang Hong Kong. Penyerang berusia 23 tahun itu tenang menewaskan penjaga gol veteran, Wang Zhenpeng.
Hong Kong cuba bangkit memburu gol penyamaan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Singapura mendahului Kumpulan C dengan 11 mata. Itu sudah cukup untuk membawa The Lions mara secara merit buat kali pertama ke Piala Asia 2027.
Singapura boleh menutup kempen kelayakan Piala Asia 2027 dengan kemenangan apabila bertemu Bangladesh dalam aksi terakhir kumpulan pada Mac 2026.