Khabib Nurmagomedov Teruja Potensi Khabib Gym Johor
UltraSukan
MSN Johor

Legenda MMA Russia, Khabib Nurmagomedov mengakui teruja dengan potensi Khabib Gym Johor.

Hal ini dinyatakan beliau selepas Majlis Pecah Tanah Khabib Gym Johor di TMIYC Iskandar Puteri baru-baru ini.

Majlis pecah tanah disempurnakan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

Majlis turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, barisan Exco kerajaan negeri dan Duta Sukan Johor, Datuk Seri Lee Chong Wei dan Sonny Bill Williams.

Khabib yang juga Duta Sukan Johor percaya apabila gimnasium ini siap, ia akan memberi impak positif kepada generasi muda Johor.

“Pada masa akan datang, fasiliti berkeluasan 3,000 meter persegi akan membuka pintunya kepada kanak-kanak dan orang dewasa Johor.

“Di sinilah, kita akan berkongsi pengalaman dan pengetahuan kita dalam seni mempertahankan diri yang dipelajari selama bertahun-tahun,” katanya di Instagram.

Khabib turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak terutama Tunku Ismail kerana dapat merealisasikan usaha ini.

Khabib Gym Johor bakal dilengkapi gelanggang oktagon, ruang pertarungan, dewan serbaguna dan mampu menampung kapasiti sehingga 1,000 orang.