Barisan pemain Singapura mendapat durian runtuh berjumlah S$2 juta (RM6.3 juta).
Channel News Asia melaporkan bonus tersebut diumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Forrest Li.
Bonus tersebut sebagai ganjaran buat para pemain dan staf kejurulatihan yang merealiasikan impian Singapura layak ke Piala Asia buat kali pertama sejak 1984.
“Seluruh pasukan kita berhak menerimanya,” katanya selepas tiba bersama pasukan Singapura di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.
“Jika anda pemain bola sepak yang bagus, anda memberi sumbangan kepada negara, anda mengembalikan maruah dan kegembiraan seluruh rakyat Singapura, anda berhak dan patut diberi ganjaran.”
Singapura layak ke Piala Asia 2027 selaku juara Kumpulan C. Ini selepas The Lions menewaskan Hong Kong 2-1 di Stadium Kai Tak baru-baru ini.
Selepas ketinggalan menerusi gol Matthew Orr, Singapura bangkit menyumbat dua gol menerusi Shawal Anuar dan Ilhan Fandi.
The Lions boleh menutup kempen Kumpulan C dengan kemenangan apabila turun menentang Bangladesh pada Mac 2026.