Johor Darul Ta’zim (JDT) terus memperkukuh kedudukan di persada Liga Super apabila membelasah Melaka FC 7-1 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
JDT berharap dapat mengekalkan rekod kemenangan 100% dalam liga. Melaka pula terus mencari kemenangan pertama dalam liga untuk musim 2025/26.
Teto Martin menjadi pilihan Xisco Munoz sebagai pengganti Arif Aiman Hanapi. Juan Douglas menjadi sandaran gol jurulatih Melaka, K. Devan.
Separuh masa pertama menyaksikan JDT berusaha memburu gol pendahuluan menerusi Martin, Jairo da Silva dan penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super, Bergson da Silva.
Bek kiri, Jonathan Silva memecah kebuntuan buat Harimau Selatan pada minit keenam. Meskipun bekas bek kiri Getafe itu dikatakan berada pada kedudukan ofsaid, gol tersebut disahkan oleh VAR.
Gol tersebut mendorong barisan pertahanan Melaka diketuai Vitor Carvalho mengetatkan kawalan bagi mengelak gawang mereka dibolosi lagi.
Malangnya, gawang Melaka bocor buat kali kedua pada minit ke-32. Tandukan Bergson gagal disekat bekas penjaga gol JDT II, Haziq Aiman Mohd Isa.
Harimau Selatan berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, JDT menyumbat tiga gol dalam tempoh 10 minit. Heberty menambah derita pelawat pada minit ke-48.
Martin dan Bergson masing-masing mencetak gol pada minit ke-50 dan 58. Bekas pemain sayap Albacete itu menambah gol keenam JDT pada minit ke-66.
Pemain gantian, Abdul Azim Rahim menyumbat gol saguhati buat Melaka pada minit ke-86. Heberty memastikan kemenangan bergaya menerusi sepakan percuma cantik pada minit ke-90.
Kemenangan 7-1 ini menyaksikan JDT kekal menerajui liga dengan 30 mata, 10 mata di hadapan KL City FC.
Melaka terus kekal di tangga tercorot liga dengan tiga mata. Kemenangan ini dijangka membakar semangat JDT bila turun menentang Melbourne City pada 25 November ini.
Melaka pula akan menentang KL City untuk aksi tertunda liga pada 30 November ini.