Seorang jurulatih dari Malaysia menerima hukuman daripada pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Hukuman tersebut disahkan oleh Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC hasil keputusan mesyuarat yang diputuskan pada 19 November dan dimaklumkan kepada umum Jumaat lalu.
Keputusan mesyuarat itu menyaksikan jurulatih kecergasan Kelana United, Mohd Zahidibudiman Bin Ibrahim dijatuhkan hukuman setelah didakwa melanggar Artikel 70 dan 50 Kod Tatatertib dan Etika AFC.
Beliau dikatakan telah bertindak secara tidak wajar, sehingga membawa permainan ke dalam keadaan tercemar ketika aksi Kelayakan AFC Women’s Champions League (AWCL) pada Ogos lalu.
Oleh itu, Zahidibudiman diarahkan untuk membayar sejumlah denda berjumlah USD5,000 iaitu sekitar RM20,766.72 dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan hukuman dimaklumkan.
Selain Zahidibudiman, Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC turut mendenda dua kelab Liga Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
JDT dikenakan denda tersebut selepas didapati gagal untuk menyediakan fasiliti yang ‘bersih’ daripada sebarang penaja yang tak berkaitan kepada Machida Zelvia untuk sesi latihan sebelum aksi ACLE tempoh hari.
Sementara, Selangor dan FAM pula didakwa menjadi punca kelewatan aksi di babak kedua ketika masing-masing tampil dalam perlawanan ACL Two dan Kelayakan Piala Asia 2027 lalu.