Pengalaman Di Amerika Syarikat Matangkan Kanchenjeet Kaur
MakanBola
FA Malaysia

Pemain bola sepak wanita Malaysia, Kanchenjeet Kaur mengakui pengalaman beraksi di Amerika Syarikat banyak mematangkan beliau sebagai pemain.

Pemain berusia 19 tahun itu berpandangan sedemikian apabila ditanya tentang pengalamannya beraksi di negara itu.

Kanchenjeet yang beraksi untuk Miami Dades Sharks menyifatkan pengalaman di Amerika Syarikat membantu beliau menjadi pemain lebih baik.

Selain menyuntik keyakinan beraksi di atas padang, Kanchenjeet turut merasakan kemahiran bola sepaknya turut menunjukkan peningkatan.

“Saya rasa pengalaman bermain di sana (Amerika Syarikat), ia menaikkan tahap keyakinan saya. Ia turut membantu saya meningkatkan kemahiran dan jadikan saya pemain lebih baik daripada sebelumnya.

“Saya tahu dengan lebih banyak keyakinan dalam diri saya, saya berhak untuk menjadi seorang pemain bola sepak yang bagus,” katanya.

Kanchenjeet menjadi satu-satunya pemain yang berpangkalan di luar negara yang dipanggil Joel Cornelli untuk memperkuat kempen Malayan Tigress untuk Sukan SEA 2025.

Malayan Tigress bakal menyertai Tri Nations Women’s International Series 2025 sebagai persiapan untuk temasya tersebut. Skuad negara akan menentang Bangladesh pada 26 November.

Ini disusuli aksi terakhir menentang pasukan Asia Tengah, Azerbaijan pada 29 November ini. Malayan Tigress berada dalam Kumpulan B Sukan SEA 2025 bersama Vietnam, Myanmar dan Filipina.