Liga Super:10 Pemain Terengganu Ikat Negeri Sembilan Saat Akhir
MakanBola
NSFC

Terengganu berjaya mengikat pasukan Negeri Sembilan di minit akhir perlawanan dengan keputusan 1-1 dalam aksi minggu ke-10 Liga Super musim ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada Sabtu.

The Jangs menurunkan Azri Ghani di bahagian penjaga gol dan Luqman Hakim mengemudi jentera serangan manakala Khuzaimi Piee mengetuai kesebelasan utama.

Sementara itu, Terengganu membariskan Syed Nasrulhaq di benteng terakhir dan Akhyar Rashid menjadi ayam tambatan pasukan tersebut.

Junior Sam berjaya melakukan percubaan berbahaya seawal minit ke 8′ namun berjaya ditepis oleh penjaga gol Negeri Sembilan, Azri Ghani.

Terengganu terpaksa akur dengan bermain hanya 10 orang bagi 75 minit apabila Kyaw Min Oo dilayangkan kad merah pada 15 minit pertama perlawanan.

Berselang beberapa minit, Syed Nasrulhaq dikeluarkan kerana mengalami kecederaan selepas bertembung bersama penyerang berprolifik Negeri Sembilan, Jovan Motika dan digantikan dengan Suhaimi Husin pada minit ke 26′.

Negeri Sembilan tampak menguasai penuh perlawanan separuh masa pertama dengan melakukan beberapa serangan berbahaya ke arah kubu pasukan Peteh.

Khuzaimi Piee turut melakukan percubaan berbahaya menerusi tandukan bebas dalam kawasan kotak penalti Terengganu namun tersasar pada minit ke 41′.

Luqman Hakim berjaya membuka akaun jaringan aksi pada minit akhir tambahan masa babak pertama hasil tandukan tajam di hadapan gawang Terengganu sekaligus memberikan kelegaan kepada kem pasukan The Jangs.

Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 1-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Negeri Sembilan.

Bersambung babak kedua aksi, Terengganu tampak meningkatkan intensiti perlawanan bagi mencari gol penyamaan perlawanan.

Pasukan Peteh terus menerus mengasak kubu pasukan Negeri Sembilan meskipun The Jangs mempunyai tonik kelebihan menerusi sorakan penyokong di halaman sendiri.

Takumi Sasaki turut melakukan percubaan berbahaya yang hampir menerjah gawang Terengganu pada minit ke 65′ namun berjaya ditepis tipis oleh penjaga gol Terengganu, Suhaimi Husin.

Terengganu terus mencuba mencari gol penyamaan pada 15 minit terakhir melalui pemain sayap, Akhyar Rashid namun masih gagal menembusi jaring Negeri Sembilan.

Ubaidullah Shamsul berjaya mengikat kedudukan pada minit ke 93′ aksi sekaligus memastikan pasukan Terengganu membawa pulang satu mata berharga dari halaman lawan.

Aksi tamat dengan keputusan terikat 1-1 buat kedua-dua pasukan bagi perlawanan minggu ke-10 Liga Super.

Negeri Sembilan bakal meneruskan aksi dalam saingan Liga Super musim ini dengan menentang pasukan Melaka pada 6 Disember ini di halaman lawan.

Selain itu, Terengganu bakal menerima kunjungan pasukan Kuching City di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 5 Disember depan.