Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz berkongsi perkembangan terkini mengenai kecederaan Arif Aiman.
Keadaan Arif Aiman kini menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat setelah pemain berusia 23 tahun ini terpaksa dibawa keluar di awal permainan ketika aksi Nepal vs Malaysia pada Rabu lalu.
Kecederaan yang dialami oleh Arif ini tampak serius apabila kelibat beliau tidak diturunkan ketika perlawanan Liga Super menentang Melaka semalam yang menyaksikan JDT menang 7-1.
Selepas perlawanan, Xisco Munoz tampil berkongsi keadaan Arif Aiman yang terpaksa disisihkan ketika ini namun jurulatih JDT itu percaya pemain paling bernilai Liga Malaysia 3 kali ini akan bangkit lebih kuat.
“Kami kehilangannya (Arif Aiman) dan saya pasti dia akan kembali dengan lebih kuat.”
“Begitulah bola sepak, perkara sebegini boleh berlaku dan dia berusaha keras untuk kembali secepat mungkin.”
“Bagaimanapun, saya tak dapat berkongsi perincian lanjut dengan anda mengenai kecederaan,” kongsi Xisco Munoz menurut laporan Stadium Astro.
JDT kini sudah pun berlepas ke Australia untuk persiapan menghadapi AFC Champions League Elite (ACLE) minggu hadapan apabila dijadualkan berdepan Melbourne Victory pada Selasa.