Juara dunia, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei muncul juara Australian Open 2025.
Beregu campuran nombor satu Malaysia itu menggondol gelaran tersebut selepas menewaskan wakil Indonesia, Jafar Hidayatullah dan Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu.
Selepas menewaskan wakil Thailand, Pakkapon Teeraratsakul dan Sapsiree Taerattanachai di peringkat separuh akhir, Tang Jie-Ee Wei berada dalam kedudukan terbaik meraih trofi pertama Jelajah BWF untuk tahun 2025.
Jafar-Felisha menjadi pemisah antara mereka dan gelaran juara. Tang Jie-Ee Wei memiliki kelebihan kerana tidak tewas dalam empat perlawanan menentang beregu campuran Indonesia itu.
Set pertama menyaksikan beregu negara mendahului pada kedudukan 11-6. Jafar-Felisha kemudiannya menyamakan kedudukan 15-15.
Tang Jie-Ee Wei kekal tenang dengan kembali mendahului sebelum memenangi set pertama dengan keputusan 21-16.
Set kedua menyaksikan beregu nombor empat dunia itu mendahului pada kedudukan 11-4. Meskipun cuba diberi tentangan Jafar-Felisha, Tang Jie-Ee Wei menang dengan keputusan 21-11.
Keputusan ini menyaksikan Tang Jie-Ee Wei meraih hadiah kemenangan sebanyak AS$37,525 (RM156,000). Mereka turut menjadi beregu campuran kedua Malaysia bergelar juara di Australia.
Kali terakhir beregu campuran Malaysia bergelar juara ialah tahun 2003 menerusi gandingan Ng Kean Kok dan Chor Hooi Yee. Pada ketika itu, Australian Open dikenali sebagai Australian International.