“Agak Terganggu Kalau Jurulatih Selangor Perlukan Mereka” – Zainal Abidin
MakanBola
Selangor FC

Legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan mengakui ketiadaan lapan pemain Malaysia B-23 berpotensi menggugat perancangan jurulatih Selangor FC, Christophe Gamel.

Lapan pemain Selangor tersenarai dalam senarai 25 pemain Malaysia B-23 yang dipanggil untuk kempen Sukan SEA 2025 di Thailand.

Antara yang dipanggil jurulatih, Nafuzi Zain ialah Muhammad Abu Khalil, Haykal Danish Mohamad Haizon dan penjaring terbanyak Liga A1 Semi-Pro, Abdul Rahman Daud.

Zainal mengakui ketiadaan lapan pemain tersebut bakal memaksa Gamel mengubah perancangan taktikal untuk beberapa aksi seterusnya.

Pada masa sama, beliau melihat ini peluang Gamel memanfaatkan barisan pemain senior yang ada untuk mengisi kekosongan tersebut.

“Bila kejohanan tiada dalam kalendar FIFA, ini akan menyukarkan pasukan-pasukan kelab. Tetapi bagi pemain B-23, ini satu pencapaian yang baik kerana pendedahan tinggi (di peringkat antarabangsa), baik bagi mereka dan dapat mewakili negara.

“Untuk kelab, mungkin tak banyak kelab yang menggunakan pemain B-23. Selangor memiliki ramai pemain B-23. Kalau inilah pemain yang Coach Gamel akan gunakan untuk pelan dia, memang akan terganggu.

“Tetapi mereka memiliki ramai pemain senior. Jadi, untuk beberapa perlawanan ini, beliau terpaksa menggunakan ramai pemain senior untuk bermain tanpa pemain B-23,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.

Selangor kembali berada di landasan kemenangan apabila menewaskan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) 2-0 di Stadium MBPJ.