Semoga Syed Nasrulhaq Baik-Baik Sahaja
MakanBola
Terengganu FC

Terengganu FC mendedahkan status terbaru penjaga gol mereka, Syed Nasrulhaq Syed Bidin.

Ramai penyokong Peteh merasa bimbang dengan keadaan penjaga gol berusia 26 tahun itu selepas berlanggar dengan pemain Negeri Sembilan FC, Jovan Motika.

Situasi itu menyebabkan Syed Nasrulhaq menerima rawatan di atas padang selama beberapa minit sebelum dibawa ke hospital.

Susulan itu, Terengganu membawa masuk Suhaimi Husin sebagai pengganti beliau untuk baki perlawanan menentang Sang Rusa.

Terengganu kemudiannya berkongsi status terbaru Syed Nasrulhaq menerusi satu kenyataan di platform rasmi mereka.

“Status terkini penjaga gol pasukan, Syed Muhammad Nasrulhaq dimaklumkan dalam keadaan stabil.

“Selepas menjalani pemeriksaan penuh semalam, tiada kecederaan yang serius dialami oleh Syed.

“Walau bagaimanapun, beliau menerima jahitan di bahagian atas dan bawah mata serta mengalami bengkak di bahagian muka dan mata kiri,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Pengurusan Terengganu turut memaklumkan Syed Nasrulhaq akan berehat bagi membantu proses pemulihan kecederaan yang dialaminya.

“Syed Nasrulhaq diberikan tempoh rehat sementara bagi penyembuhan kesan kecederaan serta bengkak di bahagian muka dan dijangka akan kembali menjalani latihan bersama pasukan selepas tempoh masa yang dinyatakan,” ujar kelab.

Ketiadaan Syed Nasrulhaq dijangka merencatkan perancangan taktikal jurulatih Peteh, Badrul Afzan Razali.

Sebelum ini, beliau terpaksa melupakan khidmat Yann Mabella yang terpaksa berehat sehingga akhir musim akibat kecederaan lutut yang serius.

Aksi Negeri Sembilan dan Terengganu di Paroi menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1. Ubaidullah Shamsul Fazili muncul wira dengan memadamkan gol pendahuluan Luqman Hakim Shamsudin.