Malaysia membuka kempen Sultan Azlan Shah Cup (SASC) dengan satu mata apabila diikat New Zealand 2-2 di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh.
Kedua-dua pasukan memburu kemenangan agar dapat meraih mata dalam aksi pertama kejohanan edisi 2025 itu.
Penyerang veteran, Faizal Saari diberi tugas mengetuai jentera serangan The Speedy Tigers. Sam Lane mengetuai kempen The Black Sticks.
Separuh masa pertama menyaksikan Malaysia terpaksa menyerap tekanan New Zealand dengan serangan balas sebagai taktik serangan.
Tatkala New Zealand ghairah mengasak, gawang mereka dibolosi pada minit kesembilan menerusi Shello Silverius. Shello tenang menewaskan penjaga gol lawan, Leon Hayward.
The Black Sticks nyaris dibolosi buat kali kedua beberapa minit selepas itu menerusi Nik Aiman Nik Rozemi. Malangnya, percubaan beliau pantas ditampan Hayward.
Gawang New Zealand bocor pada minit ke-21 menerusi Syed Syafiq Syed Cholan. Syed Syafiq menyempurnakan pukulan penalti yang menewaskan Hayward.
New Zealand mendapat talian hayat apabila diberi pukulan penalti stroke oleh pengadil. Lane tenang menewaskan Hafizuddin Othman pada minit ke-25.
Malaysia berusaha mencari jaringan tambahan tetapi kecekapan Hayward memastikan keputusan 2-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Malaysia terus meningkatkan asakan untuk menambah kelebihan gol.
New Zealand kemudiannya membuat pertukaran penjaga gol dengan memasukkan George Enersen sebagai pengganti Hayward.
New Zealand semakin tertekan kerana setiap serangan yang digerakkan berjaya dinafikan Hafizuddin. Gol penyamaan yang dicari akhirnya hadir pada minit ke-58 menerusi Dylan Thomas.
Selepas ini, Malaysia akan menentang Kanada pada 24 November. New Zealand pula menentang pasukan gergasi Asia, Korea Selatan pada hari yang sama.