‘Harapan’ Bola Sepak Malaysia
MakanBola
FA Malaysia

Nama Serge Vittoz tiba pada saat bola sepak Malaysia berada dalam ketegangan yang jarang sekali dilalui, ketika isu membabitkan 7 pemain warisan dan tekanan antarabangsa menjadikan setiap langkah FAM diperhatikan dengan penuh syak wasangka.

Di tengah gelombang kritikan dan kejatuhan keyakinan peminat, Vittoz muncul sebagai figura penting yang membawa nafas baharu melalui kepakaran undang-undang sukan bertaraf dunia serta reputasi cemerlang dalam sistem timbang tara antarabangsa.

Beliau merupakan pakar undang-undang sukan di firma ternama Charles Russell Speechlys yang berpengkalan di Geneva dan firma ini sudah lama menjadi pusat operasi perundangan sukan global yang menguruskan kes berprofil tinggi membabitkan persekutuan dunia, pemain profesional serta badan pentadbir sukan.

Pengalaman Vittoz mengendalikan lebih seratus kes di Tribunal Timbang Tara Sukan menyaksikan beliau menjadi antara individu paling dipercayai dalam menyelesaikan pertikaian rumit termasuk kes yang menyentuh disiplin, integriti dan prosedur teknikal yang menjadi asas keadilan sukan antarabangsa.

Beliau pernah terlibat sebagai hakim panel disiplin dan anti doping dalam pelbagai kejohanan besar termasuk kejohanan peringkat dunia dan pengalaman itu mengukuhkan kedudukannya sebagai watak penting yang dihormati oleh komuniti undang-undang sukan sedunia.

Pelantikan Vittoz oleh FAM membuktikan bahawa badan induk negara tidak mengambil mudah isu membabitkan tujuh pemain Malaysia kerana kes yang dibawa ke CAS menuntut kefahaman mendalam terhadap selok belok perundangan teknikal yang tidak boleh diserahkan kepada peguam biasa.

Kehadiran beliau memberikan keyakinan bahawa Malaysia bukan sahaja mendapatkan pembelaan melalui hujah undang-undang tetapi sedang berdepan proses yang memerlukan ketepatan strategi serta kemampuan menilai sebarang kecacatan prosedur yang mungkin berlaku sepanjang proses disiplin terdahulu.

Ramai peminat bola sepak gelisah dengan kemungkinan hukuman yang lebih berat namun rekod Vittoz yang sering berjaya membalikkan keputusan melalui analisis teknikal menjadikan peluang pemain Malaysia tidak lagi berpaksikan nasib semata mata tetapi bertunjangkan pengalaman seorang pakar yang sudah terbiasa mengemudi kes kompleks di peringkat tertinggi.

Kes ini bukan sekadar soal kesalahan atau hukuman kerana ini juga menyentuh hal maruah sukan negara dan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap FAM serta struktur bola sepak Malaysia sehingga menjadikan peranan Vittoz sebagai pemegang harapan yang mampu membawa sinar di tengah situasi paling kelam.

Malaysia kini memasuki episod baharu perjuangan undang-undang yang akan menentukan masa depan 7 pemain tersebut dan dengan pengalaman panjang Vittoz di pentas antarabangsa, peluang untuk mengembalikan keadilan tampak lebih meyakinkan berbanding tempoh sebelumnya.