Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Peter Cklamovski menjawab khabar angin berhubung masa depannya bersama pasukan kebangsaan.
Jurulatih kelahiran Australia itu dilantik untuk mengemudi Harimau Malaya sejak awal tahun 2025 dan membantu skuad negara menembusi tangga 116 dunia.
Beliau juga memiliki rekod cemerlang mengemudi pasukan Malaysia selepas mencatatkan rekod tanpa tewas sebarang perlawanan.
Dua aksi terakhir menyaksikan Harimau Malaya merekodkan kemenangan ke atas Laos – masing-masing dengan keputusan 3-0 dan 5-1.
Beliau bagaimanapun tampil untuk menjawab spekulasi yang mengaitkan masa depannya bersama Harimau Malaya tatkala mengakui agak terkejut mendengar berita itu.
“Saya terkejut mendengar khabar angin saya bakal meninggalkan pasukan kebangsaan.
“Fokus saya hanya untuk apa yang dihadapi hari ini dan seterusnya memastikan pasukan bersedia berdepan Nepal,” ujarnya ketika sesi sidang media pra-perlawanan tempoh hari.
Perlawanan terakhir tahun 2025 menyaksikan Malaysia berjaya mengatasi Nepal pada Selasa, 18 November 2025 di Stadium Nasional, Bukit Jalil jam 9.00 malam dengan keputusan 1-0.