JDT ‘Tinggal’ Melbourne City 39 Tangga Di Asia
MakanBola
JST/MCFC

Jurang ranking Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Melbourne City beri gambaran awal bagi aksi ke-5 saingan Liga Juara-Juara Asia 2025-2026 pada Selasa.

Pasukan kendalian Xisco Munoz beraksi cemerlang dalam aksi ke-4 saingan Liga Juara-Juara Asia 2025-2026 pada 5 November lepas apabila berjaya membenam cabaran wakil dari China, Shanghai Shenhua dengan keputusan 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim.

Sementara itu, Melbourne City juga baru-baru ini cemerlang dalam aksi ke-4 Liga Juara-Juara Asia 2025-2026 menerusi kemenangan 1-2 ke atas wakil Jepun, Machida Zelvia di halaman lawan.

Kemas kini laman Opta Analyst menunjukkan bahawa JDT terus unggul selaku pasukan ke-8 terbaik di Asia dengan 78.1 mata (ke-203 di dunia).

Pasukan Melbourne City kendalian Aurelio Vidmar pula berada di tangga 47 Asia dengan 71.7 mata (629 di dunia) selain merupakan kelab pertama terbaik dari Australia.

Setakat ini, JDT telah mengumpul 7 mata dalam 4 aksi terawal Liga Juara-Juara Asia 2025-2026 selepas mencatatkan 2 keputusan kemenangan ke atas Chengdu Rongcheng dan Shanghai Shenhua, satu keputusan seri ketika menentang Machida Zelvia dan satu keputusan kalah apabila bertemu Buriram United.

Sementara itu, Melbourne City berjaya mengumpul 6 mata berharga selepas mengutip 2 kemenangan ke atas Buriram United dan Machida Zelvia dan 2 kekalahan ketika menentang Sanfrecce Hiroshima dan Vissel Kobe dalam 4 aksi pertama Liga Juara-Juara Asia musim 2025-2026.

JDT dan Melbourne City merupakan wakil tunggal Malaysia dan Australia dalam aksi Liga Juara-Juara Asia musim ini.

JDT bakal menentang pasukan Melbourne City dalam aksi ke-5 kempen ACLE 2025-2026 pada 25 November di Stadium Melbourne Rectangular, Australia.