Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz percaya Melbourne City bakal memberi cabaran hebat kepada anak buahnya menjelang aksi terbaru ACLE.
Melbourne tampil dalam aksi ACLE selepas dibelasah 4-1 oleh Adelaide United dalam saingan A-League. Kekalahan itu turut menamatkan rekod tanpa kalah The Sky Blues dalam A-League.
Meskipun tewas, Munoz enggan memandang rendah cabaran Melbourne City. Ini kerana pasukan itu bukan saja memiliki rekod baik dalam ACLE.
Malah, The Sky Blues juga memiliki strategi permainan yang mampu memerangkap pihak lawan. Atas sebab itu, Munoz melihat JDT harus berada pada tahap terbaik jika mahu meraih tiga mata penuh.
“Mereka pasukan yang memiliki pertahanan yang baik, mereka juga sangat intensif. Mereka sangat bijak setiap kali berada dalam situasi menyerang.
“Esok sudah pasti menjadi salah satu perlawanan di mana kita kena membuat persediaan dan kekuatan yang penting. Ini kerana mereka menunjukkan prestasi bagus.
“Lihat saja musim lalu bagaimana mereka bekerja, cara mereka bermain. Musim ini lebih berbeza kerana mereka tampil lebih cemerlang. Betul, mereka tewas dalam aksi terakhir mereka. Tetapi esok ialah perlawanan berbeza kerana ia pertandingan berbeza,” katanya.
JDT turun tanpa Arif Aiman Hanapi yang kini menjalani proses pemulihan kecederaan di bahagian peha. Pemain sayap, Teto Martin dijangka mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain Harimau Malaya itu.