Sultan Azlan Shah Cup: Malaysia Bangkit Tewaskan Kanada
UltraSukan
MHC

Malaysia meraih kemenangan dalam Sultan Azlan Shah Cup (SASC) dengan menewaskan Kanada.

Selepas diikat New Zealand 1-1, anak buah Sarjit Singh berharap dapat bangkit apabila turun menentang Kanada yang berstatus pasukan ke-20 dunia.

Faizal Saari terus mengetuai jentera serangan The Speedy Tigers. Sentuhan Matthew Sarmento menjadi pilihan jurulatih The Red Caribou, Patrick Tshutshani di bahagian serangan.

Malaysia membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi Fitri Saari. Kegembiraan kem negara tidak bertahan lama apabila Sean Davis membuat jaringan padang pada minit ke-13.

Sarmento kemudiannya meletakkan Kanada di hadapan pada minit ke-16. Kem Malaysia kembali ceria apabila Azrai Aizad Abu Kamal menyamakan kedudukan pada minit ke-20.

The Speedy Tigers kembali mendahului menerusi Faizal pada minit ke-25. Penyerang veteran itu membuktikan sentuhannya kekal berbisa menerusi pukulan penalti yang menewaskan Ethan McTavish.

Malaysia berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 3-2 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, skuad negara terus memburu gol tambahan dengan sokongan padu penyokong di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh.

Malaysia menyangka telah menyumbat gol keempat menerusi Azrai Aizad pada minit ke-40. Walau bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan kerana pukulan Norsyafiq Sumantri dianggap merbahaya.

Kanada berusaha mencari jaringan penyamaan tetapi keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Malaysia memintas India di tangga kedua dengan empat mata. Kedudukan ini boleh berubah jika India meraih kemenangan dengan Belgium.

Selepas ini, The Speedy Tigers akan berdepan tugas sukar apabila menentang India pada 26 November.