Tampar Rakan Sendiri, Pemain EPL Kena Kad Merah
MakanBola
EPL

Tindakan Idrissa Gueye menampar rakan sepasukannya membayangi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) antara Manchester United dan Everton di Old Trafford.

Akhbar Daily Mail melaporkan insiden tersebut berlaku pada minit ke-13. Gueye merasa marah dengan rakan sepasukan, Michael Keane kerana membuat hantaran bola yang tidak sepatutnya.

Hal ini menyebabkan bekas pemain Paris Saint-Germain (PSG) itu berdepan Keane sebelum menampar muka beliau.

Pertelagahan kedua-dua pemain itu memaksa penjaga gol England, Jordan Pickford tampil meleraikan kedua-duanya. Setelah itu, pengadil, Tony Harrington melayangkan kad merah kepada Gueye.

Pemain tengah Senegal berusia 36 tahun itu bertuah kerana Everton kemudiannya menewaskan United 1-0. Kiernan Dewsburry-Hall mencetak nama sebagai penjaring dalam aksi itu.

Setelah itu, Gueye kemudiannya memohon maaf kepada semua pihak termasuk Keane atas apa yang berlaku.

“Saya mahu memohon maaf terlebih dahulu kepada rakan sepasukan saya, Michael Keane. Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas reaksi saya.

“Saya turut memohon maaf kepada semua rakan sepasukan, staf, penyokong dan kelab. Apa yang berlaku tidak mewakili nilai yang dipegang saya.

“Emosi sememangnya meningkat (semasa perlawanan) tetapi tiada apa yang menjustifikasikan tingkah laku ini. Saya akan pastikan ia tidak berulang lagi,” katanya di Instagram.

Keputusan ini melonjakkan Everton ke tangga ke-11 liga dengan 18 mata. Meskipun berkongsi mata sama dengan United, anak buah Ruben Amorim memiliki kelebihan jaringan.