Jurulatih Malaysia B-23, Nafuzi Zain melihat sasaran untuk layak ke separuh akhir Sukan SEA 2025 nanti amat penting.
Pasukan Malaysia B-23 memulakan kem latihan kebangsaan pada Selasa sebagai persiapan bagi menghadapi Sukan SEA yang akan berlangsung pada Disember hadapan di Thailand.
Di peringkat kumpulan B menyaksikan skuad muda negara bakal berdepan cabaran Vietnam serta Laos dengan hanya juara kumpulan dan satu naib juara terbaik bakal beraksi di separuh akhir.
Menurut Nafuzi Zain, sasaran ke separuh akhir Sukan SEA ini nanti cukup penting selepas Malaysia B-23 terkandas di peringkat kumpulan ketika Piala Mandiri dan Kelayakan Piala Asia lalu.
“Dari segi sasaran kita tahu, dua kejohanan sebelum ini kita gagal ke separuh akhir, jadi apa yang penting di Sukan SEA ini adalah untuk kita mara ke separuh akhir,” ujar Nafuzi Zain ketika sesi latihan pertama pada Selasa.
”Aksi pertama bertemu Laos amat penting untuk penentuan kita, kemudian berdepan Vietnam dan ke separuh akhir dan setidaknya kita berjaya dapatkan pingat yang seterusnya ke final.”
Malaysia B-23 akan memulakan aksi di Sukan SEA dengan berdepan Laos pada 7 Disember hadapan sebelum hadapi Vietnam 4 hari kemudian dengan semua perlawanan bakal diadakan di Songkhla.